Warga Australia dipenjara seumur hidup

Warga Australia dipenjara seumur hidup

HANOI, Vietnam, 1 Jun – Sebuah mahkamah di selatan Vietnam telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang lelaki Australia atas kesalahan menyeludup dadah.

Nathan Andrew James disabit bersalah dalam perbicaraan sehari itu oleh Mahkamah Rakyat di Bandar Ho Chi Minh minggu ini, menurut pegawai mahkamah, hari ini.

James, 34, ditangkap pada Oktober 2013 ketika mendaftar masuk penerbangan ke Australia selepas para pegawai kastam di lapangan terbang itu mendapati 1.5kg heroin disembunyikan dalam bagasinya.

Pendakwaan mengatakan James berhutang wang kepada seorang lelaki bernama Tim, yang menawarkannya untuk melangsaikan hutang jika James bersetuju untuk membawa heroin yang disembunyikan dalam dua bagasi dari Vietnam ke Australia.

James memberitahu mahkamah bahawa dia telah menerima bagasi itu daripada seorang lelaki, namun menafikan dia mengetahui heroin itu disembunyikan di dalamnya, satu penjelasan yang dinafikan oleh mahkamah, menurut pegawai.

James boleh dijatuhkan hukuman mati, namun mahkamah mempertimbangkan sejarah kesihatannya atas gangguan mental, ujarnya.

Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia mengatakan dalam satu kenyataan hari ini bahawa ia telah menyediakan bantuan konsulat kepada lelaki yang disabit bersalah di Vietnam itu. Bagaimanapun ia tidak menyatakan nama lelaki tersebut. – AP

ARTIKEL YANG SAMA