Warga Australia jalani perbicaraan atas tuduhan cabul

Warga Australia jalani perbicaraan atas tuduhan cabul

DENPASAR, Indonesia, 30 Jun (AFP) – Seorang warga Australia menjalani perbicaraan hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan puluhan kanak-kanak Indonesia di pulau peranginan popular Bali. Para pendakwa telah menuduh Robert Andrew Fiddes Ellis kelahiran Melbourne kerana mencabul 24 kanak-kanak sejak 2014.

Lelaki berusia 69 tahun itu dipercayai memujuk kanak-kanak ke rumahnya dengan menawarkan mereka hadiah dan wang, sebelum menyentuh mereka dengan tidak senonoh semasa memandikan mereka.

Polis Bali menangkap Ellis pada Januari selepas mendapat maklumat daripada agensi perlindungan kanak-kanak tempatan tentang seorang warga asing yang disyaki sering mengundang kanak-kanak ke rumahnya.

Ellis boleh berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah.

Peguamnya, Soti Sapurah, menafikan Ellis telah mencabul kanak-kanak tersebut, mendakwa kliennya hanya memandikan mereka dan tidak memaksa mereka untuk terlibat dalam tindakan tidak senonoh.

“Robert tidak berniat untuk mencabul kanak-kanak berkenaan, dia hanya ingin membuat mereka gembira,” Sapurah memberitahu AFP di luar Mahkamah Daerah Denpasar.

Ellis akan dibicarakan semula pada Julai.