Warga Australia maut terpijak periuk api

Warga Australia maut terpijak periuk api

SYDNEY, 1 Julai (AFP) – Seorang lelaki Australia telah meninggal dunia selepas terpijak periuk api di Syria semasa bertempur bagi pasukan Kurdish yang menentang kumpulan Islamic State (IS), menurut keluarganya hari ini.

Keith Harding mengatakan dia mengetahuinya pada Isnin yang anak lelakinya Reece berusia 23 tahun, yang meninggalkan Australia pada Mei, meninggal dunia pada hujung minggu semasa operasi waktu malam.

Ayah Reece yang terkejut besar memberitahu Australia Broadcasting Corporation bahawa dia telah menerima mesej yang memberitahunya untuk menelefon nombor luar negeri itu.

Apabila dia menelefonnya, lelaki yang menjawab itu menjelaskan: “Saya minta maaf yang Reece sudah pergi…dia terpijak periuk api. Dia meninggal dunia.”

Menteri Luar Negeri, Julie Bishop, yang tidak mengesahkan kematian itu, mengatakan kekecewaan keluarga itu seharusnya dijadikan sebagai amaran kepada warga Australia yang lain.

“Kami menggesa para belia Australia khususnya untuk tidak meninggalkan Australia dan menyertai perang,” katanya.

Harding mengatakan bahawa selepas anak lelakinya itu meninggalkan kediamannya di Gold Coast, dia telah meninggalkan mesej kepada keluarganya untuk mengatakan dia berada di luar negeri untuk melakukan ‘kerja kemanusiaan’.

Mereka akhirnya mengetahui yang dia telah ikut berjuang bersama pihak Kurdish, dengan gambar dirinya berpakaian tentera, memegang senjata, yang disiarkan dalam Facebook.

“Mungkin dia rasa dia ingin melakukan perkara yang betul dan cuba untuk menghentikan kekejaman kumpulan IS lakukan dalam cara kecil yang boleh dilakukannya,” kata ayahnya.

Kira-kira 120 warga Australia dipercayai bertempur di Iraq dan Syria, majoritinya adalah kumpulan jihad. Sekurang-kurangnya 30 telah terbunuh, menurut kerajaan Australia.

ARTIKEL YANG SAMA