Warga Bangladesh palsukan identiti dipenjara 6 bulan

Warga Bangladesh palsukan identiti dipenjara 6 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Feb – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menggunakan nama yang berbeza untuk pasport yang dimilikinya.

Delwar Abdul Mothin, 30, berdepan pertuduhan menyamar sebagai Mohammed Shamim Miah untuk melepasi kaunter ketibaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 12 Jun 2015.

Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport yang membawa kepada denda $10,000 dan lima tahun penjara.

Tertuduh juga berdepan dakwaan memberi nama dan tarikh lahir palsu kepada pegawai Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Brunei pada 6 Oktober 2015 dengan menyamar sebagai Mohammed Shamim Miah.

pg06_160202_mahkamah logo

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 24(1)(b) Peraturan Pendaftaran Kebangsaan yang membawa penjara dua tahun, denda $5,000 atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, tertuduh telah membayar $6,000 dalam mata wang Taka untuk mendapatkan pasport itu selepas diarahkan pulang ke Bangladesh pada 31 Mac 2012 selepas majikannya membuat laporan bahawa dia telah melarikan diri pada 25 Mei 2011.

Dia kemudian memasuki semula Brunei pada 12 Jun 2015 dan mengaku datang ke negara ini untuk tujuan bekerja.