Warga Bank Baiduri pelajari teknik pertahanan diri

Warga Bank Baiduri pelajari teknik pertahanan diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Dalam usaha berterusan untuk mempertingkatkan kemahiran dan kebajikan tenaga kerjanya, memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangannya, Kumpulan Bank Baiduri telah mengendalikan Bengkel Teknik Kawalan dan Penahanan Asas yang julung-julung kalinya diadakan baru-baru ini.

Bengkel yang dikendalikan di Pusat Belia itu dikendalikan oleh Pusat Pembelajaran dan Pembangunan, Jabatan Sumber-sumber Manusia dan Pusat Kawalan Keselamatan, Kumpulan Bank Baiduri dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Diadakan selama tiga hari, bermula 17 hingga 19 Mei lalu, bengkel ini dikendalikan oleh lapan tenaga pengajar termasuk pegawai-pegawai penjara dan yang tidak bertauliah dengan seorang ketua pengajar.

Menurut kenyataan Bank Baiduri, bengkel tersebut disertai oleh seramai 12 orang kakitangan dari pelbagai jabatan termasuk Ketua Pusat Kawalan Keselamatan Bank Baiduri, Pengiran Haji Shadan bin Pengiran Haji Yakub.

Para peserta diajar mengenai asas teknik mempertahankan diri tanpa menggunakan senjata untuk melindungi diri mereka dan dengan kecederaan minimum kepada pihak lawan, jika mereka berdepan sebarang situasi tidak diingini.

Pengiran Haji Shadan (empat, kiri), dan Timbalan Pemerintah Pusat Latihan Penjara Maraburong, Awang Shahminan bin Munap bergambar ramai bersama tenaga pengajar dari Jabatan Penjara.
Pengiran Haji Shadan (empat, kiri), dan Timbalan Pemerintah Pusat Latihan Penjara Maraburong, Awang Shahminan bin Munap bergambar ramai bersama tenaga pengajar dari Jabatan Penjara.

Menjelaskan mengenai bengkel tersebut, salah seorang tenaga pengajar, Sarjan Rohaidah binti Hasali dipetik sebagai berkata, “Brunei pada dasarnya sebuah negara aman tetapi lebih baik sentiasa bersedia bagi sebarang kemungkinan berdepan individu agresif dan sukar.

“Dalam bengkel ini, kami berkongsi beberapa teknik yang boleh digunakan untuk mengawal situasi konfrontasi.”

Salah satu teknik yang diajarkan adalah ‘postur pertahanan’, satu cara yang secara efektif boleh mengawal dan menahan individu agresif.

Dalam bengkel yang penuh interaktif dan memberi pengalaman itu, para peserta belajar mengenai aspek teori seni mempertahankan diri serta teknik fizikal dan praktikal bagi penggunaan dalam situasi berpotensi yang mungkin dihadapi.

ARTIKEL YANG SAMA