Warga BIBD dirai

Warga BIBD dirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah meraikan para pegawai dan kakitangannya dalam majlis makan malam tahunannya sebagai penghargaan dan pengiktirafan atas kerja keras dan sumbangan yang diberikan sepanjang tahun lalu.

Menurut kenyataan BIBD, usaha-usaha berkenaan telah membawa kepada kejayaan-kejayaan dan pencapaian, yang boleh dilihat dengan rating A Standard & Poor, Simposium Riba yang pertama kali diadakannya, memegang jawatan pengerusi Persatuan Antara Bank China-ASEAN (CAIBA) dan pelancaran semula Ibu Pejabat BIBD.

Pada 2015, Bank BIBD juga berjaya mengekalkan pengiktirafan antarabangsa seperti Bank Runcit Terbaik di Brunei bagi tiga tahun berturut-turut (The Asian Banker) dan Bank Terbaik di Brunei (Global Finance).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah, serta kira-kira 800 warga BIBD bersama pasangan masing-masing.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.

BIBD dalam kenyataan memberitahu bahawa majlis makan malam berkenaan turut menyaksikan pengiktirafan bagi beberapa orang bakat BIBD yang juga memberi sumbangan sebagai duta BIBD dan Brunei Darussalam.

Dayangku Noruldiana Shim binti Pengiran Haji Hashim dipuji kerana menerima Anugerah Pencapai Tertinggi dalam Kategori Perancang Kewangan Islam di Kuala Lumpur.

Turut diketengahkan adalah, pencapaian Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya dalam Peringkat Akhir Musabaqah Membaca Al-Quran, baru-baru ini.

Terdahulu, majlis telah didahului dengan bacaan doa yang diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar yang antara lain mengongsikan beberapa pencapaian penting bank berkenaan, termasuk kemenangan kali keempat berturut-turut Anugerah Bank Runcit Terbaik 2016 daripada The Asian Banker.

“Alhamdulillah, semua usaha kita setakat ini telah meletakkan kita di atas landasan yang kukuh, bersedia bagi cabaran-cabaran dan tidak sabar bagi peluang-peluang akan datang,” ujarnya.

Beliau menambah, pertumbuhan berterusan BIBD juga meningkatkan komitmennya untuk menyokong perniagaan-perniagaan Brunei menerusi penyelesaian perbankan komprehensif seperti BIBD SME 360, menyelaraskan bank lebih dekat ke arah Wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam membangunkan ekonomi yang dinamik dan mapan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kejayaan BIBD juga membolehkan mereka meningkatkan usaha untuk menyokong komuniti terutamanya menerusi inisiatif CSR yang dilaksanakannya iaitu Program ALAF.

ARTIKEL YANG SAMA