Warga Britain ditangkap berhubung serbuan kafe

Warga Britain ditangkap berhubung serbuan kafe

DHAKA, 4 Ogos – Seorang warga Britain dan seorang pelajar di sebuah universiti Kanada yang sedang menjamu selera di sebuah kafe Bangladesh apabila ia dikepung oleh kumpulan jihad bulan lalu, telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam serangan itu.

Polis berkata Hasnat Karim, seorang warga Britain berasal dari Bangladesh, dan Tahmid Khan, seorang pelajar Universiti Toronto, telah ditangkap lewat kelmarin kerana berkaitan dengan serbuan bulan lalu di Dhaka apabila 20 tebusan telah dibunuh.

“Kami mengesahkan yang mereka telah ditangkap di bawah Seksyen 54 CrPC ) prosedur jenayah),” kata jurucakap polis, A.K.M Shahidur Rahman memberitahu AFP hari ini, merujuk kepada undang-undang yang polis boleh tahan seseorang kerana disyaki terlibat dalam mana-mana jenayah.

Sebuah mahkamah kemudian menahan kedua-dua lelaki tersebut selama lapan hari, timbalan pesuruhjaya polis Dhaka, Aminur Rahman memberitahu AFP.

Kedua-duanya, Karim dan Khan berada di dalam kedai roti Holey Artisan Bakery apabila lelaki bersenjata menyerang kafe itu pada malam 1 Julai, menawan beberapa kumpulan terutamanya tebusan Barat dan kemudian membunuh 20 orang daripada mereka, termasuk dua anggota polis.

Namun kedua-duanya tidak dilihat di tempat awam sejak berakhirnya pengepungan itu apabila komando menyerbu kafe tersebut di bandar Gulshan pada pagi 2 Julai.

Keluarga kedua-dua lelaki berkenaan berkata mereka telah ditahan oleh pasukan keselamatan walaupun tiada bukti berkaitan mereka dengan para penyerang.

Polis telah menafikan yang dua lelaki tersebut dalam tahanan mereka sebelum pengumuman penangkapan itu hari ini.

Bercakap kepada AFP selepas berita penangkapan itu, ayah Karim berkata anak lelakinya telah digunakan sebagai perisai manusia oleh para penyerang semasa kepungan dan dia telah membantu menyelamatkan nyawa semasa drama tersebut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA