Warga Brunei ditangkap di Limbang

Warga Brunei ditangkap di Limbang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 31 Julai – Tindakan seorang lelaki warganegara Brunei yang mencampakkan dadah jenis syabu ke luar keretanya hanya sia-sia apabila dicekup anggota polis dalam satu pemeriksaan cegah jenayah di kawasan sempadan Hujung Jalan Pandaruan, di sini, petang kelmarin.

Suspek, 28, yang sedang panik melihat anggota polis terus mencampakkan dadah berkenaan menggunakan tangan kanannya keluar kereta sebaik melihat anggota polis dalam kejadian yang berlaku jam 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Beliau berkata, polis kemudiannya mengarahkan suspek mengambil barang tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati barang yang dicampak suspek mengandungi satu bekas plastik berisi satu keratan tiub straw yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah syabu.

“Anggaran berat kasar dadah itu adalah seberat 0.05 gram, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Mohd Bukhori menjelaskan lagi, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek yang berasal dari Daerah Temburong itu positif dadah jenis Amp.

“Hasil siasatan awal menunjukkan suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dipercayai telah menghisap syabu sejak dua tahun lalu.

“Suspek juga pernah ditangkap dua tahun lepas di Temburong, Brunei kerana positif dadah,” ujarnya lagi.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

ARTIKEL YANG SAMA