Warga Brunei korban kemalangan di Kuching

Warga Brunei korban kemalangan di Kuching

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Feb – Kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo antara Betong dan Sri Aman pada 27 Februari lalu membabitkan kenderaan dari Negara Brunei Darussalam dan Sarawak telah meragut satu nyawa dengan dua yang lain menerima rawatan akibat cedera parah.

Pegawai Penyiasat Inspektor Awang Mahathir bin Haji Samah dari Balai Polis Trafik Kuching, Sarawak ketika dihubungi hari ini berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan Honda Integra dari Brunei terbabas, memasuki laluan bersebelahan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh seorang penduduk tempatan.

Dalam kejadian sekitar jam 5:45 petang itu, penumpang warga Brunei, 29, maut manakala pemandunya, 44, cedera parah dan dirawat di Hospital Sri Aman.

Penduduk tempatan yang cedera itu menerima rawatan di sebuah hospital berasingan, tambah Awang Mahathir.

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa kemalangan yang meragut nyawa seorang warga Brunei di Lebuhraya Pan Borneo antara Betong dan Sri Aman, Sabtu lalu.
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa kemalangan yang meragut nyawa seorang warga Brunei di Lebuhraya Pan Borneo antara Betong dan Sri Aman, Sabtu lalu.

Menurut Awang Mahathir, Konsulat Negara Brunei Darussalam di Kuching sudah dimaklumkan dengan segera mengenai kejadian berkenaan dan punca kemalangan kes tersebut masih lagi dalam siasatan.

Timbalan Konsulat Brunei di Kuching, Haji Ahmad bin Haji Mohd Zin ketika dihubungi menjelaskan bahawa kedua-dua warga Brunei itu sedang menuju ke Kuching untuk menyertai acara bermotorsikal.

“Pemandu warga Brunei yang cedera parah itu sedang dirawat kerana patah tulang rusuk namun keadaannya dikatakan stabil, manakala jenazah penumpang tersebut akan diterbangkan ke Brunei dalam masa sehari dua ini,” kata Haji Ahmad.

ARTIKEL YANG SAMA