Warga Brunei maut di Limbang

Warga Brunei maut di Limbang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 9 Sept – Seorang lelaki warga Brunei yang juga pemandu kereta jenis salon meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda dalam kemalangan yang berlaku di kilometer 17, simpang Kampung Bangkuati, Jalan Medamit petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku jam 6 petang itu menyebabkan mangsa, Awang Muhammad Jalaluddin bin Abdullah, 34, maut, manakala isterinya Dayang Siti Nuraisyah, 37, cedera parah dan anak mereka Awang Zulhairi Saying, 10, patah kaki.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata pemandu pacuan empat roda, John Sawing, 62, dari Lubuk Simpor dekat sini tidak mengalami kecederaan manakala dua penumpangnya, Ambrose Joseph, 22, dan Nicholas Endit, 29, hanya mengalami kecederaan ringan.

Mohd Bukhori menjelaskan hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta salon dari Brunei menuju ke bandar Limbang itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta pacuan empat roda terbabit.

Kereta jenis salon dan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan.
Kereta jenis salon dan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan.
Mangsa yang tersepit dalam kereta salon berjaya dikeluarkan anggota bomba dan orang awam.
Mangsa yang tersepit dalam kereta salon berjaya dikeluarkan anggota bomba dan orang awam.

“Mangsa Awang Muhammad Jalaluddin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri dan anaknya yang tersepit dalam kereta terbabit berjaya dikeluarkan anggota bomba dan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan menggunakan ambulans,” katanya di sini semalam.

Jelasnya ketika kejadian berlaku jalan agak basah akibat hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Limbang, Kurong Beki berkata lapan anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 6:15 petang kelmarin.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan Zulhairi yang tersepit di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan jam 8:35 malam kelmarin.

ARTIKEL YANG SAMA