Warga BSC bersihkan Jeti Lumut

Warga BSC bersihkan Jeti Lumut

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Sept – Sebagai sebahagian daripada Program Gaya Hidup Sihat (HLP), Syarikat Perkapalan Belait (BSC), hari ini, telah mengadakan kempen kebersihan di kawasan Pendaratan Jeti Lumut, di sini.

Pembantu Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) BSC, Awang Mohammad Azim bin Haji Maksudi berkata kempen yang disertai oleh 30 orang kakitangan itu diadakan bagi menggalakkan kesedaran mengenai kebersihan alam sekitar dan juga untuk menilai kualiti keselamatan jeti yang kini sudah usang dan sedang dalam perancangan untuk pembikinan semula.

Antara yang terbabit dalam kempen tersebut ialah kakitangan dari jabatan-jabatan operasi, pentadbiran dan penyelenggaraan dan disertai oleh Pengarah Projek, Haji Matasan bin Haji Abdullah dan Ketua Pegawai BSC, Mejar (B) Rosaini bin Haji Umar.

Kakitangan BSC bergotong-royong membersihkan kawasan pendaratan Jeti Lumut, Belait.
Kakitangan BSC bergotong-royong membersihkan kawasan pendaratan Jeti Lumut, Belait.

“Memandangkan jeti ini berdekatan dengan kawasan Peranginan Lumut, keselamatan orang ramai harus dijaga dan keselamatan kakitangan yang memakai jeti ini juga harus dijaga kerana jeti ini kebiasaannya diguna pakai untuk menjalankan pengangkutan peralatan dan pekerja-pekerja yang akan dibawa ke pelantar pesisir pantai,” jelas Awang Mohammad Azim.

Inisiatif kempen hijau ini merupakan salah satu aktiviti tahunan HLP yang diadakan bagi menyuntik lagi semangat kerja berpasukan dan saling bantu-membantu dalam kalangan kakitangan syarikat BSC.

ARTIKEL YANG SAMA