Warga China dipenjara godam firma pertahanan AS

Warga China dipenjara godam firma pertahanan AS

LOS ANGELES, 14 Julai – Seorang warga China semalam dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 10 bulan di Los Angeles kerana menggodam firma pertahanan Amerika untuk mencuri kerahsiaan perdagangan bagi pihak Beijing.

Su Bin, 51 tahun, yang menggunakan nama Stephen Su dan Stephen Subin, juga diperintah oleh hakim persekutuan supaya membayar denda AS$10,000.

Pada Mac lalu, Su, mengakui dalam perjanjian akuan dengan pihak berkuasa AS berkomplot dengan dua pegawai tentera yang tidak didedahkan nama mereka di China untuk cuba mendapatkan rancangan bagi jet pejuang F-22 dan F-35 dan pesawat udara pengangkut tentera C-17 Boeing.

Menurut dokumen mahkamah, ketiga-tiga mereka berjaya mencuri data sensitif dengan menggodam rangkaian komputer firma utama pertahanan dan telah menghantar maklumat ke China.

Su, yang mengendalikan syarikat aeroangkasa dan penerbangan dari Kanada yang beribu pejabat di China, telah diberkas pada Julai 2014, dan selepas ekstradisi diketepikan dia telah dihantar ke AS untuk berdepan dakwaan.

“Dalam tempoh beberapa tahun, tertuduh ini telah berusaha untuk menjejaskan keselamatan negara AS dengan mendapatkan maklumat yang memberi faedah kepada kerajaan luar dan memberikan negara itu maklumat yang tidak pernah dilihat oleh negara itu,” pihak pendakwa Eileen Decker berkata dalam satu kenyataan.

Menurut dokumen mahkamah, Su telah pergi ke AS sekurang-kurangnya 10 kali antara tahun 2008 dan 2014, dengan bekerjasama dengan rakan komplotnya untuk mencuri data.

Dia mengakui telah menghantar e-mel kepada dua rakan sejenayahnya dengan panduan orang, syarikat dan teknologi yang menjadi sasaran. Sebaik saja data dicuri, Su mengakui menterjemahkannya kepada bahasa Inggeris dan kemudian cuba menjualnya.

Kegiatan mengintipnya telah mendapat pujian di China yang mana media kerajaan menyifatkannya sebagai seorang wira. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA