Warga China maut dalam nahas di Bintulu

MIRI, 13 Sept – Dua warga China adalah antara tiga individu yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Bintulu-Tatau pagi tadi.

Ketua Polis Bintulu, ACP Zailanni Amit berkata yang maut ialah pemandu Hilux berkenaan yang merupakan rakyat tempatan yang dikenali sebagai Kong Tze Hua, 57, serta dua penumpang warga China itu iaitu Zhao Shuguang, 51, dan Hao Ping, 44.

“Seorang lagi penumpang kenderaan pacuan empat roda itu yang juga warga China yang dikenali sebagai Tang Dingping, 43, cedera parah dalam kemalangan 7.40 pagi itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu lori treler yang berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori itu gagal mengawal jarak kenderaannya lalu melanggar kenderaan di depan dan terbabas di lorong bertentangan,” katanya. – Bernama