Warga CNI laksana ibadah korban

Warga CNI laksana ibadah korban

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Warga usahawan CNI dengan kerjasama Syarikat CNI telah mengadakan majlis ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Dewan Sekolah Rendah Jerudong, hari ini.

Seramai 14 orang peserta terdiri daripada kalangan warga usahawan CNI telah mengikuti ibadah korban itu dengan mengorbankan dua ekor kerbau.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung Sengkurong ‘A’ dan Setiausaha Persatuan BISTARI, Datin Hajah Rosmah binti Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Jualan Borneo, Thomas Kok, para usahawan CNI serta para jemputan.

Majlis telah dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Pada majlis berkenaan, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis, Haji Yusri bin Haji Ali dan diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat.

Haji Yusri, Datin Hajah Rosmah (tengah) hadir pada majlis ibadah korban usahawan CNI dan Syarikat CNI.
Haji Yusri, Datin Hajah Rosmah (tengah) hadir pada majlis ibadah korban usahawan CNI dan Syarikat CNI.
Datin Hajah Rosmah ketika menyampaikan pengagihan daging korban kepada salah seorang penerima.
Datin Hajah Rosmah ketika menyampaikan pengagihan daging korban kepada salah seorang penerima.

Datin Hajah Rosmah dalam ucapannya telah menjelaskan majlis berkenaan telah menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha dan sedikit sebanyak telah menolong golongan yang kurang berkemampuan.

Majlis diteruskan lagi dengan pengagihan daging-daging korban kepada anak-anak yatim, golongan asnaf fakir miskin serta golongan warga emas.

Para jemputan seterusnya dialu-alukan untuk menikmati jamuan dan demonstrasi mengenai produk-produk CNI telah dilakukan oleh salah seorang kakitangan Syarikat CNI.

ARTIKEL YANG SAMA