Warga DBKK sertai Program Cekap: Pekerja Bebas Dadah

Warga DBKK sertai Program Cekap: Pekerja Bebas Dadah

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) – Sebanyak 110 warga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini menyertai Program Cekap: Pekerja Bebas Dadah anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam DBKK.

Program ceramah julung kali diadakan dengan kerjasama Hospital Mesra Bukit Padang itu bertujuan memberi pendedahan kepada warga DBKK mengenai pengurusan dan kaedah menghadapi tekanan di tempat kerja.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir berkata harapan tinggi orang awam terhadap perkhidmatan DBKK sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pegawai bertugas dan mereka perlu mengetahui kaedah menghadapinya.

Justeru, beliau berkata, program kesedaran seumpama itu adalah sebagai satu peringatan tambahan kepada warga DBKK supaya sentiasa peka dan mengenali unsur-unsur negatif yang boleh menjejaskan prestasi kerja.

“Sebagai penjawat awam, sewajarnya menonjolkan penampilan dan sikap baik, amanah, serta telus dan tulus menjalankan tugas,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, di sini.

Abidin berharap info berguna daripada program itu akan dapat dikongsi dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian warga DBKK.