Warga emas 5 hari sesat, ditemui selamat

Warga emas 5 hari sesat, ditemui selamat

MARANG, 10 Jun – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu selepas memasuki kawasan hutan di Kampung Bukit Parit berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang, ditemui selamat, pagi tadi.

Fatimah Ismail, 71, yang mengalami masalah nyanyuk dan rabun itu dijumpai oleh anggota keselamatan dan orang kampung kira-kira pukul 11:29 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali berkata Fatimah yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di bawah pokok dalam hutan berkenaan iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan tuala yang dipakainya sebelum ini.

“Operasi pencarian ini turut melibatkan kira-kira 100 kekuatan termasuk polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya ‘nenek’ berkenaan telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mene-rima rawatan lanjut. – Bernama