Warga emas cacat anggota mahu berbasikal dari Kota Kinabalu ke Kuching

Warga emas cacat anggota mahu berbasikal dari Kota Kinabalu ke Kuching

KUCHING, 8 Mei – Junaidi Pauzan, warga emas yang kudung kaki kirinya, tetapi telah melakukan ekspedisi berbasikal, berenang dan mendaki gunung, kali ini mahu berbasikal lagi menjelajah Kota Kinabalu hingga ke Kuching.

Hasrat beliau turut disampaikan melalui sepucuk surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikirim menerusi pegawai pengiring perdana menteri, ketikahadir pada majlis perasmian Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong, di sini pada 1 Mei.

Junaidi, 63 tahun, seorang pesara Jabatan Perhutanan Sarawak, berkata beliau berharap perdana menteri menyokong hasratnya dan meluluskan biayaan untuk jelajah yang beliau impikan.

Beliau memberitahu Bernama bahawa beliau memerlukan RM22,000 untuk kospenginapan dan makan minum bersama lima orang pengiring beliau untuk jelajahdari Kota Kinabalu ke Kuching, yang beliau cadangkan dari 7 hingga 31 Ogos tahun ini.

Kaki kiri Junaidi kudung akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2001 di Simpang Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya. Datuk kepada tiga orang cucu itu berkata sebelum ini pada tahun 2006,beliau berenang menyeberangi laut dari Kampung Pasir hingga ke KampungSantubong dan kemudian berenang dari Pulau Satang hingga ke kawasan pantai di Hotel Damai, Santubong pada 2007.

Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meneliti basikal serta mendengar hasrat seorang pesara Jabatan Hutan Sarawak yang kudung kaki kiri, Junaidi Pauzan yang ingin berbasikal dari Kota Kinabalu ke Kuching, ketika perasmian Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong, Kuching, 1 Mei lalu. – Bernama
Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meneliti basikal serta mendengar hasrat seorang pesara Jabatan Hutan Sarawak yang kudung kaki kiri, Junaidi Pauzan yang ingin berbasikal dari Kota Kinabalu ke Kuching, ketika perasmian Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong, Kuching, 1 Mei lalu. – Bernama

Pada tahun 2008, Junaidi berenang dari Pulau Satang ke KampungSantubong, manakala pada tahun 2009, beliau berbasikal selama 17 hari dari Bandar raya Miri ke Kuching.

Selain itu, beliau juga membuktikan keupayaan mendaki gunung apabila berjaya menawan puncak Gunung Santubong dalam tempoh pendakian selama sembilan jam 50 minit pada tahun 2011.

Pada tahun 2012, beliau berenang sejumlah 20,000 kilometer selama 11 jam 36 minit di dalam kolam renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

Menurut Junadi, ekspedisi sebelum ini mendapat pembiayaan daripada penduduk kampung dan wakil rakyat, manakala jelajah dari Miri ke Kuching dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak.