Warga emas didedah bahaya dadah

Warga emas didedah bahaya dadah

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Feb – Masyarakat umum terutamanya warga emas juga perlu diberikan kesedaran mengenai impak dan bahaya dadah bagi mengenal pasti ahli keluarga atau mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat itu, agar segera melaporkannya kepada pihak berkenaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pegawai Narkotik, Hajah Norhayani binti Abdullah semasa Pameran Anti-Dadah Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi Warga Emas yang diadakan di Dewan Balai Raya Kampung Lumut, petang tadi.

Hajah Norhayani menjelaskan lagi, program itu adalah bagi memberi kesedaran mengenai bahaya dadah kepada lapisan masyarakat terutamanya kepada orang-orang tua atau warga emas di Daerah Belait khususnya di Kampung Lumut I, dengan menyalurkan pengetahuan dan maklumat yang tepat berhubung dengan isu penyalahgunaan dadah.

“Jika sekiranya warga emas ini dapat mengenal pasti atau mengetahui mana-mana orang atau ahli keluarga mereka yang disyaki terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat ini mereka boleh melaporkannya dengan segera kepada kami (BKN) supaya kami akan dapat memeriksa dan memantau persekitaran atau mengawasi kejiranan di sana bagi mengenal pasti sebaran aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan-kawasan yang dilaporkan,” ujarnya.

Hajah Norhayani menjelaskan kepada warga emas penduduk Kampung Lumut I mengenai bahayanya dadah.
Hajah Norhayani menjelaskan kepada warga emas penduduk Kampung Lumut I mengenai bahayanya dadah.

Program yang pertama kali diadakan khas untuk warga emas ini sejajar ketika mereka sedang mengunjungi dewan berkenaan bagi menerima wang pencen daripada Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad yang juga selaku ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Selain itu, pameran anjuran BKN cawangan Belait bersama Mukim Perundingan Kampung Lumut I itu adalah bagi mewujudkan kerjasama antara BKN dan warga emas untuk sama-sama berganding bahu membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga dan seterusnya masyarakat.

Pada pameran itu, pihak BKN telah menunjukkan maklumat terkini mengenai penyalahgunaan dadah serta memperlihatkan jenis perkakas atau barangan dadah seperti syabu dan ganja dan yang lainnya yang digunakan oleh penagih-penagih dadah dan berharap warga emas akan dapat membantu mereka mengenal pasti mereka yang terlibat dengan membuat laporan kepada talian Hotline BKN di 2448877/2422479 atau 8777444.

ARTIKEL YANG SAMA