Warga emas dihargai

Warga emas dihargai

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 29 Sept – Enam pelajar Universiti Brunei Darussalam yang mewakili Majlis Belia Brunei, telah menjayakan projek kemasyarakatan bagi memperingati orang tua yang diadakan bersempena Hari Antarabangsa Warga Emas kelmarin.

Pasukan sukarelawan tersebut yang diketuai oleh Pengurus Projek Dayang Afifah binti Abdul Latif dan Penolong Pengurus Projek Dayang Nur Ezzati Syahirah binti Haji Maeidin telah melaksanakan projek berkenaan di Majlis Perkhidmatan Masyarakat Daerah Belait atau lebih dikenali sebagai Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria, di sini.

Dayang Afifah semasa ditemui Media Permata menjelaskan, Hari Antarabangsa Warga Emas jatuhnya pada setiap bulan Oktober dan pada tahun ini membawa tema ‘Take a Stand Against Ageism’.

Menurutnya, pusat tersebut yang menempatkan seramai 10 orang warga emas di Pekan Seria ini hanya dijaga oleh dua orang sukarelawan. Dengan hanya bantuan daripada mereka berdua, tugas-tugas harian lainnya terpaksa dibahagikan sama rata untuk dilakukan oleh kalangan penghuni rumah tersebut, seperti memasak yang dilakukan oleh tiga orang warga emas setiap hari.

Sukarelawan Majlis Belia Brunei bergambar ramai bersama penghuni Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria.
Sukarelawan Majlis Belia Brunei bergambar ramai bersama penghuni Rumah Orang-Orang Tua Pekan Seria.

“Sebelum kami mengadakan projek di sini, tinjauan telah kami lakukan, dan mendapati penghuni rumah orang-orang tua ini hanya menerima lawatan pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Sambutan Hari Natal, tetapi terlalu jarang pada hari-hari biasa,” katanya.

Sehubungan itu, melalui projek memperingati orang tua atau warga emas ini, ia antara lain bertujuan untuk menunjukkan perasaan kasih sayang kepada mereka dan supaya mereka mengetahui bahawa mereka juga dihargai dan tidak pernah dilupakan.

Selain itu, ia juga untuk mengelakkan diskriminasi terhadap warga emas, sejajar dengan tema sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas pada tahun ini.

“Dengan adanya projek seperti ini, ia juga dihasratkan bagi menyedarkan kalangan belia dan orang ramai pentingnya sumbangan diberikan kepada orang-orang tua, dan kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang turut terlibat memberikan pelbagai jenis sumbangan untuk kami sampaikan kepada penghuni di rumah orang-orang tua di sini, termasuklah makanan asasi, cenderahati dan lainnya,” kata Dayang Afifah.

Dalam pada itu, beliau dan rakan-rakan lainnya juga berharap, akan lebih ramai lagi pengunjung melawat penghuni di pusat penempatan warga emas itu, termasuk bagi kalangan pelajar, persatuan dan orang awam, dengan menyediakan aktiviti-aktiviti yang boleh menghiburkan kalangan warga emas di sana.

ARTIKEL YANG SAMA