Warga emas dirai sempena Pesta Kuih Bulan

Warga emas dirai sempena Pesta Kuih Bulan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Sept – Kelab Rotary Kuala Belait, mengongsikan kemeriahan Perayaan Kuih Bulan yang lazimnya diraikan oleh masyarakat Cina pada pertengahan bulan September, bersama warga emas yang tidak mempunyai sanak saudara dengan kunjungan ke Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, rombongan kelab berkenaan, yang diketuai oleh Presiden cawangan Kuala Belait, Dayang Helen Tang, turut menghulurkan bungkusan Kuih Bulan dan Tanglong.

Turut menyertai rombongan ialah mantan presiden Loo Soon Nin, mantan presiden Grace Chin, Presiden kelab pada masa ini Patrick Lai, dan beberapa orang ahli Kelab Rotary Camille Chai dan Meena Tiong yang merupakan ahli kelab dari Miri.

Menurut mantan presiden Kelab Rotary, Awang Toh Fui Mung, Pesta Kuih Bulan diraikan dengan tiga konsep asas, antaranya mengeratkan hubungan antara satu sama lain, perpaduan bersama keluarga, rakan-rakan dan tanda kesyukuran.

Rombongan Kelab Rotary bersama penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria sempena Pesta Kuih Bulan.
Rombongan Kelab Rotary bersama penghuni Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria sempena Pesta Kuih Bulan.

Selain itu, ia juga dipercayai membawa keharmonian dan sudah menjadi salah satu tradisi bagi masyarakat Cina.

Katanya, memandangkan penghuni di Rumah Orang Tua ini tidak mempunyai sanak saudara terdekat, mereka mahu mengongsikan kegembiraan dan keceriaan pesta-pesta yang diraikan terutamanya oleh masyarakat Cina. Selain mengunjungi penghuni Rumah Orang-orang Tua di sini, rombongan kira-kira 10 orang berkenaan turut berkunjung ke kediaman seorang lagi warga emas di Kampung Labi, iaitu Awang Ting yang kehilangan deria penglihatan dan tinggal bersendirian di rumahnya.

Dalam kunjungan itu, rombongan turut melakukan kerja-kerja mengemaskan rumah warga emas itu dan turut meninjau projek yang telah mereka kendalikan beberapa tahun lalu di sana, seperti Projek Solar dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA