Warga emas hadapi tuduhan rasuah

Warga emas hadapi tuduhan rasuah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah pada 2013.

Tiada pengakuan diambil dari Awang Haji Duraman bin Talip, 60, yang berdepan dakwaan memberi rasuah $250 kepada seorang pegawai pendidikan sebagai ganjaran untuk mendapatkan kelulusan berhubung permohonan melanjutkan permit bekalan perkhidmatan bot.

pg06_160421_mahkamah logo

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Seksyen Pengangkutan dan Kenderaan, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Pendidikan di Pusar Ulak, pada 26 Mac 2013. Dia didakwa mengikut Seksyen 6(b) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131, dihukum di bawah Seksyen 7 akta yang sama, yang boleh membawa denda $30,000 dan juga pemenjaraan selama 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula memohon kes ditangguhkan selama sebulan bagi membolehkan tertuduh mempertimbangkan pengakuannya.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 21 Mei untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA