Warga emas hilang, ditemui selamat

Warga emas hilang, ditemui selamat

KUCHING, 10 Julai – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas di Kampung Simpok, Padawan berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa iaitu Rayu Tanong berusia 68 tahun dilaporkan hilang selepas pergi ke kebunnya pada petang hari tersebut.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan keluarga yang turut dibantu penduduk kampung sehingga berjaya menemui mangsa pada jam 8.30 pagi semalam.

“Apabila pasukan operasi tiba di lokasi kejadian, dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh penduduk kampung pada jam 8.30 pagi dan mangsa dijumpai dalam keadaan sihat.

“Atas permintaan keluarga, mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

“Mangsa dilaporkan hilang pada jam 8 malam Jumaat lepas dan Balai Bomba Siburan menerima laporan daripada pihak polis pada jam 1.35 pagi semalam,” katanya. – UB