Warga emas kurang upaya, hilang

Warga emas kurang upaya, hilang

Oleh Arissa

 

LIMBANG 23 Sept – Seorang lelaki warga emas yang pekak dan bisu dilaporkan hilang ketika sedang mencari buah asam paya di dalam hutan berdekatan Kampung Pengkalan Rejab semalam.

Ketua Bomba Zon Limbang Edmund Dmahai Amboh, berkata mangsa  Timbang Serail 68, dilaporkan hilang jam 12 tengah hari selepas dikatakan tidak pulang sejak jam 10 pagi kelmarin oleh ahli keluarganya.

Beliau berkata bomba yang tiba dilokasi kejadian sepuluh minit kemudiannya terpaksa menangguhkan operasi jam 12:33 akibat hujan lebat di kawasan berkenaan. Bagaimanapun katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan semula jam 1 petang semalam.

Beliau berkata seramai tujuh anggota melibatkan sebuah kenderaan diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Zakaria Matnor bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya 10 kilometer sebaik menerima panggilan jam 12 tengah hari dari orang awam.

Anggota APM Limbang sedang mencari mangsa semalam.
Anggota APM Limbang sedang mencari mangsa semalam.

“Selain anggota bomba, penduduk kampung juga turut berusaha mencari mangsa namun sehingga kini  gagal ditemui,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Angkatan  Pertahanan  Awam Malaysia (APM)  Daerah Limbang Staf Muda (PA) Mahathir Mohd Isa berkata seramai lapan anggota JPAM Limbang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam jam 9:50 pagi semalam untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Selain bomba dan APM, turut terlibat dalam operasi itu ialah anggota polis dan penduduk kampung.