Warga emas menang Mercedes RM200,000

Warga emas menang Mercedes RM200,000

MELAKA, 28 Dis – Seorang warga emas tidak menyangka amalan menyimpan melalui Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak lima tahun lepas melayakkannya memenangi sebuah kereta Mercedes E300 bernilai kira-kira RM200,000.

Kamariah Abu Bakar, 73, dari Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah dekat sini berkata buat permulaan ibu kepada tujuh anak itu menyimpan sebanyak RM8,000 dan kemudian menambah simpanannya setiap bulan sehingga kira-kira mencecah RM13,000 dalam tempoh tersebut.

“Makcik memang suka menyimpan walaupun sedikit makcik tetap menyimpan, simpanan tersebut hasil pemberian anak-anak setiap bulan.

“Makcik memang tidak terkejut kerana memang tahu tentang program cabutan SSP BSN ini tapi tidak menyangka akan menjadi pemenang utama bulan Oktober, memang berbaloi menyimpan sebegini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Cabutan SSP BSN Bulanan dan Tempatan di sini.

Hadiah tersebut disampaikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan majlis turut dihadiri Pengarah Perniagaan negeri BSN Roslin Marjumin.

BSN sentiasa menghargai pelanggannya dan pelbagai cabutan bertuah dibuat antaranya cabutan bertuah bulanan, tempatan dan mingguan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk SSP bernilai RM1,000. – Bernama

Pemenang Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) Bulan Oktober Kamariah Abu Bakar, 73, (baju hijau) dan keluarga bersama Mercedes E300 yang dimenanginya pada Majlis Penyampaian Cabutan SSP BSN Bulanan dan Tempatan semalam.-Bernama
Pemenang Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) Bulan Oktober Kamariah Abu Bakar, 73, (baju hijau) dan keluarga bersama Mercedes E300 yang dimenanginya pada Majlis Penyampaian Cabutan SSP BSN Bulanan dan Tempatan semalam.-Bernama

ARTIKEL YANG SAMA