Warga emas negara diraikan

Warga emas negara diraikan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Sumbangan jasa bakti golongan warga emas terhadap negara, masyarakat dan keluarga mereka tidak dilupakan apabila setiap 1 Oktober diisytiharkan sebagai hari bagi memperingati jasa mereka yang diraikan semasa Sambutan Hari Antarabangsa Untuk Warga Emas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sambutan itu, mula diraikan di seluruh dunia sejak 1991 dan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) juga tidak terkecuali untuk meraikan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas setiap tahun sejak tahun 2003.

Sehubungan itu, sebagai tanda kesyukuran, Majlis Sembahyang Sunat Duha Berjemaah, Membaca Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas telah diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, Mukim Berakas ’B’, Daerah Brunei Muara, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 100 orang jemaah yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan Jawatankuasa Takbir Pusat Kegiatan Warga Emas serta Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Di antara yang menghadiri majlis berkenaan.
Di antara yang menghadiri majlis berkenaan.
Haji Anwari menyampaikan ceramah khas di majlis berkenaan.
Haji Anwari menyampaikan ceramah khas di majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Duha berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan bertahlil beramai-ramai serta ceramah bertajuk ‘Amalan-Amalan dan Gaya Hidup Meniti Usia Senja’ yang disampaikan oleh Penceramah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Anwari bin Haji Rawee.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid RPN Lambak Kanan, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.

Sambutan Hari Antarabangsa Untuk Warga Emas bagi 2016 membawa tema ‘Penentangan Terhadap Diskriminasi Umur (Take a Stand Against Ageism)’, yang mana sambutan bertujuan untuk mendukung hasrat negara dalam membina sebuah negara zikir dengan melibatkan golongan warga emas.

Tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan warga emas terhadap pembangunan negara adalah sangat penting dan berharga.

Oleh itu, melalui sambutan seumpama itu, kita dapat melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas pengorbanan dan sumbangan bakti mereka.

ARTIKEL YANG SAMA