Warga emas rebut peluang saksikan majlis gilang-gemilang

Warga emas rebut peluang saksikan majlis gilang-gemilang

Oleh Yusrin Junaidi, Lenna N.B & Sim Y.H

Gambar oleh Lenna N.B

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, berlangsung dalam suasana yang penuh meriah dengan kehadiran rakyat dan penduduk tanpa mengira bangsa dan usia.

Lebih mengagumkan adalah kehadiran ramai warga emas yang tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan majlis penuh gilang-gemilang itu bagi sama-sama memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, walaupun dengan usia yang sudah lanjut.

Salah seorang warga emas yang ditemui di majlis itu, Haji Abdullah bin Ibrahim, 76, dari Kampung Junjungan berkata majlis seumpamanya itu menunjukkan bahawa masyarakat pelbagai bangsa di negara ini bersatu padu dalam melahirkan rasa kecintaan terhadap raja yang disayangi.

Sementara itu, Dayang Pungut binti Ahmad, 61, dari Kampung Perumahan Rakyat Jati Rimba, Gadong, pula meluahkan perasaan amat gembira dan terharu kerana bukan sekadar berpeluang menyaksikan persembahan padang tetapi suka melihat ramai penduduk di daerah ini hadir menunjukkan satu semangat kecintaan kepada Baginda sebagai raja yang dihormati.

Pengiran Hajah Hasnah yang turut hadir di Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama anaknya.
Pengiran Hajah Hasnah yang turut hadir di Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama anaknya.
Dayang Pungut dan Hajah Masni yang datang bersama semata-mata ingin mengambil peluang berjunjung ziarah bersama pemimpin yang disayangi.
Dayang Pungut dan Hajah Masni yang datang bersama semata-mata ingin mengambil peluang berjunjung ziarah bersama pemimpin yang disayangi.
Haji Abdullah tetap bersemangat menyaksikan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah walau usia kian meningkat.
Haji Abdullah tetap bersemangat menyaksikan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah walau usia kian meningkat.

Hajah Masni binti Awang Anak, 71 yang datang ke majlis tersebut bersama Dayang Pungut turut menunjukkan kegembiraan dan berkata beliau tidak pernah merasa letih demi sama-sama meraikan Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara. Selagi hayat dikandung badan, beliau tetap ingin mengambil peluang bersua muka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ujarnya.

Manakala itu, Pengiran Hajah Hasnah, 83, yang datang bersama anak-anak beliau berkata sambutan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu dan andai panjang umur, beliau menyatakan hasrat untuk datang lagi pada tahun depan.

Dalam pada itu, beliau turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana telah memberi pelbagai kebajikan kepada warga emas.

ARTIKEL YANG SAMA