Warga emas terselamat

Warga emas terselamat

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 April – Sebuah rumah kayu satu tingkat ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Keriam, Tutong, malam tadi.

Pasukan Polis Diraja Brunei melaporkan bahawa Balai Bomba Tutong menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10:37 malam dan telah mengerahkan dua buah jentera bomba dengan 10 orang anggota bomba yang berjaya mengawal kebakaran dalam masa 13 minit.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kebakaran di rumah milik Dayang Kalsum binti Haji Japar itu dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Dayang Kalsum yang tinggal bersendirian di rumah itu menceritakan bahawa kejadian bermula kira-kira jam 10:30 malam dan pada masa itu, beliau sedang menonton televisyen di bilik tamu apabila terdengar percikan api dan asap tebal keluar dari biliknya.

Saat itu, beliau teringat bahawa sebelum ini, beliau mengecas lampu suluh di biliknya, dan terlupa untuk menutupnya.

Keadaan rumah Dayang Kalsum di Kampung Keriam selepas kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10:30 semalam.
Keadaan rumah Dayang Kalsum di Kampung Keriam selepas kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10:30 semalam.

Menurutnya, semasa kejadian, beliau tidak panik dan sempat mencuba memadamkan api dengan air, namun melihat asap mula menebal dan kedengaran api merebak dengan cepat, beliau segera melarikan diri daripada menyelamatkan hartanya dan berteriak meminta bantuan ke arah jiran-jiran yang berdekatan.

Katanya, rumah tersebut sudahpun berusia lebih 60 tahun dan telah diubahsuai oleh pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) pada tahun 2013.

Berikutan kejadian itu, pagi tadi, beliau menerima sumbangan berupa makanan asasi daripada JAPEM.

Pada masa ini, Dayang Kalsum tinggal bersama adiknya, Haji Tahir bin Haji Japar di Kampung Keriam dan berharap beliau akan dapat kembali ke rumah asalnya seperti dulu, memandangkan rumah tersebut merupakan peninggalan orang tuanya.

ARTIKEL YANG SAMA