Warga emas terus diberi perhatian

Oleh Yusrin Junaidi

 

KUALA BELAIT, 13 Feb – Sebagai salah satu usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menggalakkan warga emas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, sebuah lagi pusat kegiatan golongan berkenaan telah ditubuhkan di negara ini.

Pusat yang dinamakan sebagai Pusat Masyarakat Bestari (PMB) Kampung Pandan, Kuala Belait ini ditempatkan di bawah satu bumbung dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sedia ada di kampung berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan majlis perasmian pagi tadi ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga penghulu Mukim Liang; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku ketua Kampung Labi 1 dan pemangku penghulu Mukim Labi.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Abdul Hazis bin Haji Ahad; wakil pemangku pengarahJabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Awang Abdul Rahman bin Haji Apong; Pemangku Pengarah DBP, Dayang Sariani binti Haji Ishak; penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung Daerah Belait dan para pegawai kanan kerajaan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian PMB di Kampung Pandan, Kuala Belait kelmarin.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan memukul gong untuk merasmikan Pusat Masyarakat Bestari, Kampung Pandan.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menandatangani plak kenang-kenangan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa meninjau aktiviti sampingan semasa majlis berkenaan.
Demonstrasi pembuatan kuih oleh Biro Wanita Kampung Pandan.

Pusat yang ditubuhkan melalui JAPEM dengan kerjasama DBP ini dihasratkan sebagai pusat sehenti untuk menjadikan masyarakat berpengetahuan dan aktif dalam kegiatan berkebajikan.

Pusat ini juga merupakan salah satu daripada kemudahan untuk warga emas berinteraksi atau dengan pelbagai golongan masyarakat terutama sekali belia, remaja dan kanak-kanak untuk merapatkan jurang di antara mereka di samping sebagai wadah untuk menimba ilmu pengetahuan melalui perkongsian pengalaman.

Acara pagi tadi dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Muhd Yusuf sebelum ucapan alu-aluan daripada Pengerusi dan Pengurus Jawatankuasa Tadbir Bahagian Warga Emas, Kampung Pandan, Awang Damit bin Haji Awang Chuchu.

Majlis yang dirasmikan dengan pukulan gong oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan itu diteruskan dengan majlis menandatangani plak dan demonstrasi pembuatan kuih-muih melayu oleh Biro Wanita Kampung Pandan.

Di samping itu, majlis turut diserikan lagi dengan menambang syair oleh Awang Haji Sulaiman bin Haji Duraman dari Kampung Pandan dan diselajurkan dengan persembahan tausyeh dan dikir daripada Biro Wanita Kampung Pandan.

Sebagai tanda penghargaan, majlis diteruskan dengan penyerahan buku-buku bacaan oleh Awang Damit kepada Yang Berhormat Dato.

Majlis juga turut menyaksikan pameran dan jualan produk dari Kampung Pandan, Kampung Labi 1 dan Kampung Lumut II seperti makanan tradisi, kuih-muih dan kraftangan.