Warga emas tetap diutamakan

Warga emas tetap diutamakan

Oleh Sim Y. H.

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Kementerian Kesihatan terus memberikan keutamaan kepada keperluan dan penjagaan kesihatan bagi warga emas di mana pada masa ini, di Negara Brunei Darussalam, terdapat pakar tempatan dalam bidang perubatan bahagian geriatrik iaitu penjagaan bagi mereka yang usianya meningkat.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi ketika mengulas persoalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji A. Ahmad bin Husain mengenai keutamaan bagi warga emas di persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain menjelaskan lanjut, “Brunei masih di peringkat awal daripada segi syif demografi ini, yang mana jika kita lihat negara-negara jiran seperti Singapura atau Jepun dan Korea, kebanyakan daripada penduduk mereka ini terdiri daripada warga emas.”

Beliau berkata bahawa negara-negara berkenaan mempunyai masalah dari segi cara menangani isu-isu penduduk yang meningkat umur.

Bagi Brunei, ulasnya lagi, lebih 50 peratus penduduk negara masih lagi boleh dikategorikan dalam golongan muda.

“Jadi inilah masanya, bagi kita memikirkan macam mana kita mengelinga warga-warga emas kita walaupun masih lagi di peringkat yang rendah, mereka ini yang mustahak bagi kita.”

Golongan warga emas adalah penting bagi negara di mana tanpa mereka mungkin sukar bagi kita untuk ke hadapan kerana khidmat nasihat mereka masih diperlukan.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat menyatakan bahawa pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan supaya warga emas akan diberikan keutamaan.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa dalam memastikan warga negara yang sihat ia memerlukan kerjasama yang padu daripada semua pihak yang berkenaan dan bukan sahaja terletak semata-matanya di tangan Kementerian Kesihatan.

Untuk merealisasikan hasrat itu, ia memerlukan isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan dijadikan isu bersama dan perlu ditangani bersama.

ARTIKEL YANG SAMA