Warga emas tidak lepaskan peluang

Warga emas tidak lepaskan peluang

Oleh Yusrin Junaidi, Pg Fairol RMF & Sim Y.H

Gambar oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Usia bukan menjadi halangan bagi seorang warga emas untuk menyaksikan Istiadat Barisan Kehormatan Bersempena dengan Memperingati Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 tahun, di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini

Haji Saleh bin Haji Bungkul yang berusia 73, ketika ditemu bual, menyuarakan perasaan teruja untuk menyaksikan majlis istiadat berkenaan dan berkata, setiap tahun beliau tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan majlis berkenaan.

“Istiadat Barisan Kehormatan ini amat menarik dan luar biasa. Saya sungguh tidak menyangka berpeluang menyaksikan upacara ini pada tahun ini, dan setiap tahun juga disambut baik oleh orang ramai dari pelbagai bangsa dan agama,” ujar beliau.

Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang sempat ditemui, Awang Alif Afifi bin Haji Mazlan turut melahirkan perasaan amat teruja melihat suasana sekitar yang dipenuhi orang ramai bagi memeriahkan suasana Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-70 tahun berkenaan.

Manakala itu, bagi Mark Lee, dari Kampung Telanai, ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan Istiadat Barisan Kehormatan secara langsung, yang mana menurutnya, biasanya beliau hanya melihat menerusi kaca TV.

Haji Saleh melahirkan rasa teruja untuk menyaksikan istiadat tersebut.
Haji Saleh melahirkan rasa teruja untuk menyaksikan istiadat tersebut.

“Perasaan melihat secara langsung memang terasa berbeza dan bermakna dengan untuk tradisi dan kebudayaan.

“Ternyata upacara bersejarah ini mempunyai makna yang amat mendalam bagi masyarakat tempatan,” tambah beliau.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui, memuji istiadat berkenaan dengan berkata, ia amat hebat, penuh unsur tradisi adat istiadat, dan amat meriah dengan dibanjiri ribuan rakyat tempatan berbilang kaum dan juga dari luar negara.

“Kali terakhir saya menyaksikan Istiadat Barisan Kehormatan ini ketika saya berumur 12 tahun, ternyata kemeriahannya memang masih sama terasa bahkan lebih meriah lagi,” katanya.

Media Permata juga berkesempatan menemu bual anggota beruniform terdiri daripada ahli-ahli Pandu Puteri yang diketuai oleh Dayang Norizzan binti Aziz, anggota Tentera Darat Diraja Brunei yang diketuai oleh Pegawai Waran 1, Awang Rashid bin Haji Abdul Rahman, anggota Bomba dam Penyelamat Penerbangan Awam yang diketuai oleh Pegawai Balai, Haji Zainal bin Haji Sulaiman.

Dalam temu bual itu, mereka semuanya menyatakan perasaan sangat bertuah dan teruja menyertai Istiadat Barisan Kehormatan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA