Warga emas ti...

Warga emas tidak sabar mengundi

SEMATAN, 16 Feb – Tinggal dua hari sahaja lagi pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu diadakan, Mina Kalum, 86, sudah tidak sabar untuk keluar mengundi.

Penghuni Rumah Panjang Kampung Pueh dekat sini berkata beliau tidak pernah gagal turun mengundi setiap kali pilihan raya diadakan sejak beliau masih muda.

“Saya tidak ingat tahun bila mula saya mengundi, tapi yang pasti masa itu kamu pun belum lahir lagi,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang merupakan bapa kepada Ranum anak Mina iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Opar merupakan penghuni paling tua bukan sahaja di rumah panjang itu malah di Kampung Pueh.

Warga emas, Mina Kalum, 86, menggantungkan bendera Barisan Nasional (BN) menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.03 Tanjong Datu pada Sabtu ini, di beranda Rumah Panjang Kampung Pueh dekat sini, kelmarin. – Bernama
Warga emas, Mina Kalum, 86, menggantungkan bendera Barisan Nasional (BN) menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.03 Tanjong Datu pada Sabtu ini, di beranda Rumah Panjang Kampung Pueh dekat sini, kelmarin. – Bernama

“Saya tidak berapa kuat sangat untuk berjalan, tapi pada hari mengundi nanti, saya akan pakai tongkat. Tidak jauh pun jalan berjalan kaki, dalam masa lima minit, saya boleh sampai di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pueh,” katanya.

Mina memuji jasa yang ditinggalkan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu iaitu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang juga Ketua Menteri Sarawak.

“Tok Nan bagus betul, semua orang dia tolong, tapi apa boleh buat, umur dia tidak panjang,” katanya. Seorang lagi penghuni rumah panjang itu, Teilang Nyuntay yang berumur 76 tahun turut berazam untuk keluar mengundi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA