Warga Filipina terlepas hukuman mati

Warga Filipina terlepas hukuman mati

MANILA, Filipina, 30 Jun (Agensi) – Lembaga Pengampunan Malaysia meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup ke atas warga Filipina yang disabitkan penyeludup 5 kilogram dadah kokain di lapangan terbang Kuala Lumpur, menurut Kedutaan Filipina di ibu negara Malaysia hari ini.

Kedutaan itu berkata lembaga pengampunan negeri Selangor diketuai Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada 15 Jun lepas mengubah hukuman ke atas Jacqueline Quiamno berikutan permohonan pengampunan yang dikemukakan oleh kedutaan dan anggota keluarganya.

Berita baik itu tiba tatkala nasib seorang lagi wanita warga Filipina yang sedang menunggu hukuman mati di Indonesia kerana sabit menyeludup dadah masih belum jelas.

Pelaksanaan hukuman mati ke atas Mary Jane Veloso pada 29 April ditangguhkan selepas rayuan oleh kerajaan Filipina. Quiamno ditahan pada 2005 dan Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati beliau bersalah pada November 2010. Keputusan itu turut disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Julai 2013.

ARTIKEL YANG SAMA