Warga Fun Bee Park kunjungi Rumah Orang-orang Tua

Warga Fun Bee Park kunjungi Rumah Orang-orang Tua

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 6 Mei – Serombongan sukarelawan dari Fun Bee Park telah mengadakan lawatan ke Rumah Orang-orang Tua di sini, hari ini, yang turut disertai sama oleh beberapa orang murid mereka serta pemiliknya Hajah Mariam binti Hashim serta Pengurus Kreatif, Cecilia Lee.

Pegawai Bertugas Fun Bee Park, Anna May Bunyi, semasa ditemui memberitahu, lawatan tersebut merupakan kali pertama diadakan, kerana sebelum ini mereka tidak mengetahui terdapatnya rumah orang-orang tua di sini.

Menurutnya, dalam lawatan itu mereka turut menyampaikan sumbangan berbentuk pelbagai barangan dan keperluan makanan yang berjaya dikumpulkan daripada penyumbang-penyumbang termasuk daripada orang ramai, serta pelanggan-pelanggan Fun Bee Park, IA Saloon dan Polly Transport.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuklah selimut, tuala, lampin pakai buang dewasa, tisu, biskut, minuman tepung seperti Milo, Susu Anlene Gold, Susu Segar, bijirin, kopi dan sebagainya.

“Pelajar-pelajar kami turut melibatkan diri dengan membuat kek khusus untuk penghuni rumah orang-orang tua di sini, yang telah dipastikan dari segi kesihatan dan khasiatnya seperti mengurangkan bahan gula dan lainnya,” kata Anna.

Rombongan Fun Bee Park menyampaikan pelbagai jenis sumbangan bagi keperluan penghuni Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria.
Rombongan Fun Bee Park menyampaikan pelbagai jenis sumbangan bagi keperluan penghuni Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria.

Selain itu, turut disampaikan adalah pelbagai barangan keperluan rumah seperti cerek elektrik, tangki air panas, keperluan mandian dan tandas, dan sebagainya bagi keperluan di rumah berkenaan serta paket merah yang diserahkan oleh Hajah Mariam kepada kalangan penghuni di rumah tersebut.

Fun Bee Park merupakan pusat bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke atas untuk mengikuti kelas pembelajaran, mewarna, membuat kuih dan menyediakan kemudahan perpustakaan bacaan bagi pelajar-pelajarnya, yang telah ditubuhkan pada tahun 2012 di Batu Bersurat, Gadong.

Pusat itu juga sering menerima kunjungan daripada beberapa buah sekolah di negara ini, dan dalam masa yang sama mereka menyediakan berbagai-bagai aktiviti kepada para pelawat mereka termasuklah aktiviti mewarna dan membuat kek.

ARTIKEL YANG SAMA