Warga Hamburg tolak bidaan hos Olimpik 2024

Warga Hamburg tolak bidaan hos Olimpik 2024

BERLIN, 30 Nov (Reuters) – Warga Hamburg semalam menolak bidaan untuk menghoskan Olimpik musim panas 2024 dengan lebih dari separuh mengundi menentang projek itu, sekali gus menamatkan pencalonan dan mengejutkan pegawai-pegawai bidaan.

“Kami menjangka keputusan yang berbeza,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bidaan, Nikolas Hill. “Keputusan itu bagaimana pun jelas bagi kami, kami perlu menerimanya. Tidak terdapat perbincangan atau memikirkannya semula.

Hanya itu. Itu apa yang mereka mahukan.”

Hampir 52 peratus dari 650,000 undian menentang projek yang bernilai 7.4 bilion euro (AS$7.84 bilion) yang mengadakan bidaan bersama Los Angeles, Rom, Paris dan Budapest untuk menghoskan acara berbagai sukan terbesar dunia.

Hill berkata beberapa acara yang tidak berhubung kait, termasuk serangan Paris awal bulan ini dan skandal sukan dunia dalam bola sepak dan atletik, menjejaskan pengundi.

Datuk Bandar Hamburg, Olaf Scholz (kiri) dan presiden Jawatankuasa Olimpik Jerman, Alfons Hoermann, ketika tiba untuk memberikan sidang media di Hamburg, bahagian utara Jerman, pada 29 November 2015. – Agensi
Datuk Bandar Hamburg, Olaf Scholz (kiri) dan presiden Jawatankuasa Olimpik Jerman, Alfons Hoermann, ketika tiba untuk memberikan sidang media di Hamburg, bahagian utara Jerman, pada 29 November 2015. – Agensi

“Serangan di Paris, skandal (Piala Dunia 2006 Jerman), keadaan pelarian, skandal dadah. Ia tidak kena mengena dengan perkara ini tetapi ia menjejaskan dan mengganggu orang ramai,” Hill memberitahu satu persidangan.

Jerman perlu menerima kekalahan referendum kedua dalam tempoh dua tahun selepas Munich merancang bagi Sukan musim sejuk 2022 dihalang dengan undian setempat 2013. Hill berkata keputusan terbaru itu “tidak akan mudah pada masa depan (bagi Jerman) untuk berada dalam Olimpik.”

Penolakan tersebut juga satu tamparan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyaksikan undian reformasi meluas pada tahun lepas bertujuan untuk menjadikan Sukan Olimpik lebih menarik kepada bandar-bandar raya hos. Konsep Hamburg melibatkan Sukan Olimpik diadakan di kawasan Kleiner Garsbrook, secara teknikalnya sebuah pulau tetapi hanya 10 minit berjalan kaki dari pusat bandar, yang akan memiliki taman Olimpik dan menawarkan para atlet dan penonton jarak dekat untuk membuat perjalanan ke tempat-tempat persaingan.

“Orang ramai di Hamburg membuat keputusan dan Hamburg tidak akan membida bagi menghoskan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024,” Datuk Bandar, Olaf Scholz memberitahu wartawan. “Senat dan diri saya mengharapkan keputusan yang berbeza tetapi ia jelas. Ia adalah keputusan yang terikat,” katanya.

Jerman tidak pernah menunjukkan sokongan yang luas bagi Hamburg, memilih Berlin awal tahun ini, dan juga kejayaan tipis dalam referendum tidak akan memenangi sebarang mata bonus dengan IOC, berhasrat untuk melihat sokongan setempat dalam bandar berpotensi dan hos Olimpik.