Warga Hospital PMMPMHAMB ikuti Kursus Marsyal Bomba

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Ogos – Cawangan Operasi ‘E’ Balai Bomba Daerah Tutong telah mengadakan Kursus Marsyal Bomba bagi para pegawai dan kakitangan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong yang bermula 7 Ogos lalu selama tiga hari.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa tamat kursus yang diadakan di Balai Bomba Bukit Beruang, Daerah Tutong dengan disertai oleh seramai 25 pegawai dan kakitangan hospital berkenaan itu ialah Pegawai Pemerintah Operasi ‘E’, Bomba Daerah Tutong, Penguasa Kanan Bomba Tahir bin Haji Muktal.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pentadbir, Hospital PMMPMHAMB Tutong, Abang Ahmad Farhan bin Abang Haji Rashidi.

Semasa kursus dijalankan, para peserta telah diberikan penerangan mengenai tugas-tugas dan fungsi Jabatan Bomba dan Penyelamat, selain mengikuti sesi latihan asas kawad kaki bagi membentuk disiplin, latihan jasmani dan tatacara menyelamatkan mangsa.

Adapun tujuan kursus itu diadakan adalah untuk melatih kecekapan dan pengetahuan peserta kursus dalam menghadapi situasi kecemasan kebakaran selain melatih cara-cara pengosongan bangunan yang betul dan cekap.

Penguasa Kanan Bomba Tahir bergambar bersama pegawai dan kakitangan Hospital PMMPMHAMB Tutong yang menyertai Kursus Marsyal Bomba, baru-baru ini.
Penguasa Kanan Bomba Tahir bergambar bersama pegawai dan kakitangan Hospital PMMPMHAMB Tutong yang menyertai Kursus Marsyal Bomba, baru-baru ini.