Warga Hotel Keoja derma darah

Warga Hotel Keoja derma darah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Okt – Sebanyak 30 pain darah telah berjaya dikumpulkan melalui Kempen Derma Darah anjuran Hotel Keoja dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diadakan di kawasan Restoran Fiore hotel berkenaan, di sini, hari ini.

Kempen yang merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hotel Keoja itu diadakan kira-kira empat jam, bermula pukul 10:00 pagi hingga 2:00 petang dengan melibatkan penyertaan kakitangan hotel dan juga orang awam.

Pengurus Operasi Hotel Keoja, Roy Marshal memberitahu Media Permata, kempen tersebut merupakan kali pertama diadakan, dan ia dirancang akan diadakan lagi sebagai aktiviti CSR mereka, dengan tujuan untuk membantu menambahkan tabung darah di negara ini.

Turut sama menyumbangkan darah pada kempen tersebut ialah kalangan kakitangan hotel-hotel The Swiss Hotel and Apartment dan RoomZ Hotel di Seria.

Penyelia Simpanan Darah Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud, semasa ditemui memberitahu Media Permata, keperluan darah sudah semakin meningkat, dengan keperluan sekurang-kurangnya 50 pain sehari.

Roy Marshall (kiri) ketika memerhatikan kakitangannya yang menyertai aktiviti Kempen Derma Darah yang dianjurkan kelmarin di hotel tersebut.
Roy Marshall (kiri) ketika memerhatikan kakitangannya yang menyertai aktiviti Kempen Derma Darah yang dianjurkan kelmarin di hotel tersebut.
Orang awam di sekitar daerah ini turut melibatkan diri menyumbangkan darah kelmarin.
Orang awam di sekitar daerah ini turut melibatkan diri menyumbangkan darah kelmarin.

Sehubungan itu, mereka memerlukan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengadakan kempen derma darah secara berterusan.

Menurut beliau, hampir setiap hari mereka melaksanakan kempen derma darah, biarpun simpanan setakat ini mencukupi tetapi tabung darah mesti terus ditambah bagi memastikan ia sentiasa mencukupi bagi keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Menderma darah merupakan kegiatan yang sihat, ia boleh mengurangkan sekurang-kurangnya sejumlah 500 kalori bagi setiap penderma, dan mereka boleh menderma selepas dua bulan, dan boleh menderma empat hingga lima kali dalam setahun,” katanya.

Beliau menambah, beberapa perubahan ke atas syarat menderma darah telah dilaksanakan sejak 14 Jun 2014, iaitu remaja berusia 17 tahun dibolehkan menderma darah dengan mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa melalui borang yang disediakan, berbanding sebelum ini yang terhad kepada 18 tahun ke atas.

Sementara itu, berat badan juga telah dikurangkan kepada 45 kilogram berbanding sebelum ini 50 kilogram, yang mana perubahan itu adalah bagi menyasarkan penderma dalam kalangan para belia yang sihat.

Kempen hari ini telah dikendalikan bersama oleh seramai 12 orang kakitangan daripada Pusat Pendermaan Darah RIPAS dengan diketuai oleh Haji Matusop dan dibantu sama oleh Pegawai Perubatan hospital itu, Dr. Nway Nang.

ARTIKEL YANG SAMA