Warga India derma darah

Warga India derma darah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Dalam usaha berterusan untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah, Kumpulan Penderma Darah Warga India telah mengadakan Kempen Derma Darah yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Berakas, pagi tadi.

Seorang ahli fisioterapi dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang juga merupakan salah seorang wakil kumpulan berkenaan, Mohamed Kassim bin Abdul Wahab semasa ditemui pihak Media Permata menjelaskan, kempen ini merupakan kali ke-11 diadakan sejak ia dimulakan pada tahun 2007.

Kempen yang dibukakan kepada masyarakat India dan orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu merupakan inisiatif tersendiri untuk menggalakkan para penderma di negara ini dalam sama-sama memberikan bantuan secara tidak langsung, di mana, jelasnya, masalah kekurangan stok darah merupakan kelaziman yang sering terjadi di mana-mana negeri.

Tambahnya lagi, di India, kempen derma darah ini sering kali dilakukan melalui pertubuhan Islam yang dikenali sebagai Tamil Nadu Tahweed Jamaah, di mana pertubuhan berkenaan begitu aktif dalam aktiviti perkhidmatan sosial di kesemua bidang.

Antara yang menyertai kempen derma darah kelmarin.
Antara yang menyertai kempen derma darah kelmarin.

Kempen berkenaan telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan setiap tahun dan bermula pada tahun 2015 yang lalu, kumpulan penderma darah berkenaan telah mengadakan kempen tersebut dua kali setiap tahun.

Mengulas mengenai pemilihan tempat untuk mengadakan kempen derma darah tersebut, jelasnya, mereka telah memilih kawasan Serusop disebabkan ramai daripada masyarakat India tinggal di kawasan tersebut, sekali gus dapat mengatasi masalah pengangkutan yang sering kali dihadapi oleh mereka yang ingin menderma darah.

Mereka juga telah mengedarkan risalah-risalah di kawasan tersebut seminggu sebelum kempen diadakan sebagai salah satu usaha untuk memberigakan kempen tersebut.

Dalam pada itu, beliau melahirkan harapan agar kempen ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam sama-sama menyahut seruan menderma darah khususnya bagi masyarakat India dan orang ramai amnya.

ARTIKEL YANG SAMA