Warga Iran miliki syabu, dipenjara

Warga Iran miliki syabu, dipenjara

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) – Seorang pelancong warga Iran yang ditahan di lapangan terbang empat tahun lepas membawa replika kepala harimau yang diperbuat daripada 2.4kg methampetamine atau syabu, terlepas hukuman gantung tetapi diarah menjalani hukuman penjara.

Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar memerintahkan Mohammad Erfan Eshtyaghi Ahmad menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan rotan kerana memiliki dadah itu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Mohammad Erfan bagi tuduhan mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, Mohammad Erfan, 30, terlepas hukuman gantung sampai mati selepas mahkamah meminda pertuduhan kepada memiliki dadah.

Dia diarah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkapan pada 2 Ogos 2011.

Dia pada mulanya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Disember 2012 bagi kesalahan mengedar dadah tetapi pada 17 November 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya dan membebaskan lelaki itu.