Warga Kampus Yala tinjau taman herba

Warga Kampus Yala tinjau taman herba

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seramai 57 orang dari Institut Rajapark, Kampus Yala, Thailand, diketuai pengarahnya, Profesor Madya Kasem Benchawong mengadakan lawatan ke Taman Rekreasi Herba Kampung Putat, di sini.

Semasa lawatan tersebut mereka dialu-alukan dan diberi taklimat mengenai taman herba tersebut oleh Ketua Kampung Putat, Haji Jumat bin Akim sebelum dibawa meninjau secara lebih dekat persekitaran taman herba berkenaan.

Taman Rekreasi Herba Kampung Putat dirasmikan pada 5 Jun 2010 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia di mana lebih 95 jenis spesies herba terdapat di taman riadah itu serta ia menjadi tumpuan orang ramai terutama penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Menurut Profesor Madya Kasem Benchawong, selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mereka dengan warga Kampung Putat dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, lawatan tersebut sedikit sebanyak membantu mereka untuk mengumpul maklumat terkini mengenai perkembangan Negara Brunei Darussalam yang dapat dijadikan sebagai bahan rujukan di institut berkenaan.

“Apa yang sangat menarik ialah Negara Brunei Darussalam berteraskan dengan falsafah Negara Melayu Islam Beraja (MIB),” katanya sambil menambah bahawa menerusi lawatan berkenaan juga, mereka dapat berbincang serta memahami keperluan semasa bagi kemajuan kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang.

Haji Jumat menerangkan mengenai latar belakang taman dan Kampung Putat semasa sesi taklimat dijalankan.
Haji Jumat menerangkan mengenai latar belakang taman dan Kampung Putat semasa sesi taklimat dijalankan.
Rombongan pelawat diberi penerangan mengenai herba-herba yang terdapat di taman berkenaan.
Rombongan pelawat diberi penerangan mengenai herba-herba yang terdapat di taman berkenaan.

Menurut beliau, Taman Rekreasi Herba Kampung Putat mampu menarik pelancong luar negara serta berpotensi untuk menaikkan ekonomi negara.

Sementara itu, Haji Jumat dalam taklimatnya menjelaskan pelbagai produk Kampung Putat yang telah berjaya dihasilkan secara kecil-kecilan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai.

“Kampung Putat mempunyai keunikannya tersendiri, seperti Tumpi Rangup Putat dan Kuah Bahulu Pelangi. Kampung Putat juga berjaya menghasilkan produk herba untuk menjana ekonomi penduduknya,” jelas beliau.

Haji Jumat berkata, “antara herba yang terkenal di Kampung Putat ialah herba Pelibas Kuning dan Putih yang mampu menyembuhkan diarea. Manakala untuk penyembuhan dalaman dengan izin Allah S.W.T yang terkenal ialah Daun Sinaran Bulan yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit barah payudara.”

Beliau juga berkata, permintaan ke atas produk berkenaan cukup menggalakkan, akan tetapi Kampung Putat belum mampu menghasilkan produk herba berkenaan secara skala besar, hanya berskala kecil sahaja yang menggunakan tenaga tangan.

“Saya berharap, pihak-pihak tertentu akan dapat memberikan sedikit bantuan yang boleh menaik tarafkan lagi kualiti produk yang dihasilkan.”

ARTIKEL YANG SAMA