Warga Kanada diekstradisi bulan depan

Warga Kanada diekstradisi bulan depan

BANGKOK, 9 Dis – Seorang lelaki warga Kanada yang diberkas di Thailand berhubung peranannya sebagai penasihat kanan kepada pencipta laman sesawang rahsia Silk Road akan diekstradisi ke Amerika Syarikat bulan depan, menurut polis hari ini.

Polis Thailand berkata mereka telah memberkas Roger Thomas Clark warga Kanada minggu lalu, ekoran permintaan bagi bantuan dari pihak berkuasa AS.
Jabatan Keadilan AS mengatakan Clark telah menasihatkan pencipta laman sesawang, Ross Ulbircht tentang cara untuk mengendali laman sesawang itu, satu asas bagi menjual dadah, dan bagaimana mengelak polis.

Clark berdepan dakwaan konspirasi narkotik dan pembersihan wang, dengan tempoh hukuman penjara 30 tahun jika didapati bersalah.

Clark ditahan di pusat tahanan imigresen di Bangkok dan Thailand akan menghantarnya ke AS,” pegawai polis Songpol Wattanachai memberitahu para pemberita.

“Kami telah menangkap dan menahannya dan dia akan ditahan oleh polis imigresen di Bangkok,” kata Songpol, penolong jurucakap bagi polis kebangsaan.

Tambahnya “Kami dalam proses menghantarnya pulang ke AS kerana Amerika mengehendakinya.” “Kami boleh menghantarnya balik dalam tempoh sebulan.”

Dia tidak menyatakan mengapa prosedur akan mengambil masa sebulan.

Silk Road, pasaran gelap online tempat dadah dan barangan lain dijual, telah ditutup pada Oktober 2013 apabila pihak berkuasa merampas laman sesawang itu dan memberkas Ulbricht.

Ulbrict dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Mei lalu selepas juri persekutuan AS mendapatinya bersalah mengatur skim yang membolehkan lebih AS$200 juta dalam jualan dadah online tanpa nama menggunakan mata wang digital, Bitcoin.

Pihak pendakwa AS berkata Silk Road menjadi rangka tindakan bagi laman-laman sesawang lain yang digelar “pasaran gelap” yang membolehkan penjualan dadah. – Reuters