Warga KB laksana usaha pembersihan bersepadu

Warga KB laksana usaha pembersihan bersepadu

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Jun – Jawatankuasa Kerja Menangani Isu-Isu Kebersihan Peringkat Daerah Belait telah melaksanakan usaha pembersihan bersepadu buat kali kedua selepas kali pertama diadakan pada penghujung bulan Januari lalu.

Usaha Pembersihan Bersepadu itu adalah bagi menyahut saranan Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan di Peringkat Kebangsaan, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan kawasan-kawasan di Daerah Belait sama ada di dalam bandar mahu pun luar bandar.

Di samping itu, ia juga bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang jatuhnya pada setiap 5 Jun.

Kerja-kerja pembersihan kali ini telah melibatkan sepuluh zon/kawasan iaitu Zon 1 kawasan Jalan Bendahari; Zon 2 termasuk kawasan-kawasan Jalan Bendahari, Jalan Puteri Brunei dan Jalan Maharajalela; Zon 3 kawasan Asrama Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB); Zon 4 kawasan Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW); Zon 5 kawasan Padang SMPW; Zon 6 kawasan MKJB; Zon 7 kawasan Padang MKJB; manakala Zon 8, 9 dan 10 merangkumi kawasan Perumahan Guru Ugama dan kawasan Perumahan Kakitangan Jabatan Elektrik.

Ia melibatkan penyertaan pelbagai pihak yang meliputi berbagai agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli majlis perundingan kampung, sekolah-sekolah serta pihak swasta.

Pembersihan bersepadu di Daerah Belait melibatkan pelbagai pihak.
Pembersihan bersepadu di Daerah Belait melibatkan pelbagai pihak.

Lebih 500 orang dalam kalangan penuntut, guru-guru dan kakitangan sekolah berdekatan terlibat dalam kerja usaha pembersihan bersepadu itu.

Kempen dimulakan dengan setiap peserta membuat pendaftaran dan seterusnya mendengarkan taklimat di tiga lokasi, antaranya kawasan berdekatan dengan Jalan Bendahari, kawasan Jabatan Sekolah-Sekolah Daerah Belait dan Dewan Sekolah Rendah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien.

Sampah-sampah yang dikutip dan dikumpulkan kemudian dilupuskan di Pusat Pelupusan Sampah di Sungai Paku, manakala tayar-tayar terbiar dibuang ke Pusat Pelupusan Sampah di Bukit Udal Tutong.

Dalam pada itu, Sekolah Panaga juga telah menganjurkan ‘Hari Kebersihan Komuniti Pelajar-Pelajar Belait’ yang dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk sepanjang Jalan Maulana hingga Jalan Utara Seria serta Taman Jubli Perak dan Tugu Peringatan Sebilion Tong.

Usaha pembersihan bersepadu itu diharapkan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat serta rakyat dan penduduk di Daerah Belait pada keseluruhannya akan pentingnya sama-sama menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan seterusnya akan dapat membudayakan amalan menjaga kebersihan dan sikap pembersih setiap masa.

Di samping itu, ia juga diharap dapat menjadikan kawasan-kawasan alam sekitar di Daerah Belait akan lebih bersih, indah, ceria dan bebas daripada menjadi tempat-tempat pembiakan nyamuk.

ARTIKEL YANG SAMA