Warga kedutaan Jepun teruja lawat Tamu Tutong

Warga kedutaan Jepun teruja lawat Tamu Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 31 Dis – Daerah Tutong sekali lagi menerima kunjungan daripada pihak Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam buat kali keduanya yang diketuai oleh Timbalan Ketua Misi/Kaunselor bagi Penolong Khas, Dr. Toshio Kaneko dan disertai oleh keluarga dan kakitangan di kedutaan berkenaan.

Rombongan seramai 18 orang termasuk 10 orang kanak-kanak telah memilih pakej lawatan City Tour Thursday Morning Special (Tutong Tamu Tour).

Menurut Dr. Toshio Kaneko, lawatan ke Tamu Tutong ini merupakan yang pertama bagi beliau bersama keluarga dan rombongan Kedutaan Jepun.

Sebelum ini, beliau hanya pernah mendengar Tamu Tutong setelah melintas ke Daerah Tutong dan tamu itu dikenali di negara ini, dan untuk mengetahui serta ingin melihat lebih dekat Tamu Tutong, mereka memilih pakej lawatan ke Tamu Tutong.

Setelah melawat ke Tamu Tutong, beliau bersama keluarga dan rombongan amat teruja dan mengambil peluang membeli serta mengenali pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran tempatan dan barangan kraf tangan di negara ini.

pg03_160101_b

Dr. Toshio Kaneko, bersama keluarga dan kakitangan di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam melawat ke Tamu Tutong, kelmarin.
Dr. Toshio Kaneko, bersama keluarga dan kakitangan di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam melawat ke Tamu Tutong, kelmarin.
Dr. Toshio Kaneko bersama keluarga berpeluang menikmati buah Jambu yang dijual di Tamu Tutong.
Dr. Toshio Kaneko bersama keluarga berpeluang menikmati buah Jambu yang dijual di Tamu Tutong.

Setelah mengetahui dan mengenali Tamu Tutong, Dr. Toshio melahirkan harapan beliau bersama keluarga dan warga Kedutaan Jepun akan datang kembali untuk membeli-belah terutama membeli sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan pada bila-bila masa setiap hari Khamis.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Awang Shahminan bin Haji Tengah berserta pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Tutong.

Semasa lawatan ke gerai-gerai jualan yang terdapat di pasar tamu mereka diterangkan secara ringkas mengenai tamu berkenaan dan informasi yang berkaitan.

Sebelum mengakhiri lawatan tersebut, rombongan juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi pembuatan teh herba tradisional Sambah Bagangan oleh Dayang Fatimah Anak Jali yang merupakan salah seorang ahli Majlis Perundingan Kampung Kiudang.

Tujuan lawatan adalah untuk melihat dengan lebih dekat Pasar Tamu Tutong yang cukup popular dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.

Beroperasi setiap hari Khamis, tamu berkenaan menjual pelbagai juadah makanan tempatan, barangan mentah dan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, pelbagai jenis bunga-bungaan dan tanaman, pelbagai jenis kraf tangan dan sebagainya dengan harga murah dan berpatutan.

Melalui program-program dan aktiviti yang menjurus ke arah matlamat menjadikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi seperti penyediaan pakej-pakej lawatan City Tour, Hari Warisan Kesenian dan Kebudayaan Daerah Tutong dan sebagainya, telah mampu meningkatkan kunjungan pelawat dan pelancong ke daerah ini yang mana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat dan 1K1P (Satu Kampung Satu Produk) Daerah Tutong juga membuka peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang menjana pendapatan masyarakat setempat.

ARTIKEL YANG SAMA