Warga kerja Kingston meriahkan Majlis Ramah Mesra

Warga kerja Kingston meriahkan Majlis Ramah Mesra

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd (Kingston), hari ini, meraikan seluruh warga kerjanya di Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri 1436H/2015M yang diadakan di pejabatnya di Perindustrian Beribi II di Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Pengurusan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Malcolm Lim yang dialu-alukan Pengurus Besar Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Valentine Hon.

Jurucakap Kingston memberitahu media, majlis itu merupakan acara kemuncak Aidilfitri yang diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri terutama bagi warga kerja yang beragama Islam.

Di majlis itu, warga Kingston berkumpul dan beramah mesra sekali gus mengeratkan silaturahim dan hubungan kerja di antara jabatan-jabatan dan bahagian yang terdapat di bawah nama Kingston.

Malcolm Lim ketika menyampaikan ucapannya di majlis itu.
Malcolm Lim ketika menyampaikan ucapannya di majlis itu.
Antara warga kerja Kingston yang hadir sama memeriahkan suasana Sambutan Aidilfitri.
Antara warga kerja Kingston yang hadir sama memeriahkan suasana Sambutan Aidilfitri.

Di awal majlis, Malcolm Lim berkesempatan menyampaikan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang sentiasa berusaha mempertingkatkan produksi dan menjaga kualiti produk keluaran syarikat.

Menurutnya, beliau sangat mengalu-alukan beberapa rakan niaga baru yang mula mempercayai Kingston dan mengucapkan terima kasih kepada rakan niaga yang lain yang sekian lama setia bersama mereka.

“Saya sangat gembira melihat semua warga Kingston untuk datang ke majlis hari ini bagi memeriahkan lagi suasana Aidilfitri tahun ini dan harapan semoga semua akan terus sihat dan proaktif dalam kerja masing-masing,” ujarnya.

Majlis diserikan dengan pelbagai jenis permainan dalaman yang interaktif dan melibatkan semua warga Kingston di samping menjamu juadah yang sememangnya istimewa.

ARTIKEL YANG SAMA