Warga kurang berkemampuan diberi bantuan

Warga kurang berkemampuan diberi bantuan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Jun – Bagi memeduli kebajikan serta keperluan warga sekolah, Ma’had Islam Brunei, Tutong telah menghulurkan sumbangan derma kepada lebih 40 orang yang terdiri daripada penuntut dan anak-anak yatim berserta kakitangannya melalui program amal Sentuhan Kasih Ramadan.

Penyampaian sumbangan pada majlis yang berlangsung di surau blok ‘B’, institusi berkenaan, pagi tadi, telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Rusita binti Haji Yahya.

Projek tersebut merupakan anjuran Jabatan Umum, Ma’had Islam Brunei, yang bertujuan melaksanakan khidmat bakti kepada masyarakat dengan memberi bantuan dan meringankan beban warga sekolah yang kurang berkemampuan.

Pengarah Jabatan Pengajian Islam menyampaikan sumbangan derma program amal Sentuhan Kasih Ramadan kepada salah seorang penerima.
Pengarah Jabatan Pengajian Islam menyampaikan sumbangan derma program amal Sentuhan Kasih Ramadan kepada salah seorang penerima.

Selain itu, ia juga diharap dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan warga sekolah melalui kerja-kerja amal dan sifat tolong-menolong serta melahirkan warga sekolah yang sentiasa prihatin dan bertanggungjawab kepada masyarakat.

Sebelum ini, Ma’had Islam Brunei menerusi projek berkenaan telah memberikan sumbangan berbentuk makanan asasi kepada tiga buah keluarga yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan kakitangan Ma’had Islam Brunei yang kurang berkemampuan.

ARTIKEL YANG SAMA