Warga Malaysia dihadap ke mahkamah

Warga Malaysia dihadap ke mahkamah

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Seorang warga Malaysia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan, hari ini, bagi dua pertuduhan rasuah di bawah Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131).

Tan Hie Kiong, bagaimanapun, tidak mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan berkenaan dan Majistret Awangku Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman telah menetapkan 1 Oktober 2015 sebagai tarikh sebutan semula.

Menurut kenyataan Biro Mencegah Rasuah (BMR), hari ini, tertuduh telah didapati secara tidak jujur menawarkan $3,000 kepada lima orang pegawai kastam dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah sebagai dorongan atau imbalan agar mereka tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh di bawah Perintah Eksesais 2006 yang berhubung dengan pemilikan rokok tidak diisytiharkan cukai.

Dalam pertuduhan kedua, pada hari yang sama, 10 September 2015, tertuduh secara tidak jujur telah menawarkan wang kepada seorang pegawai kastam sebagai dorongan atau imbalan untuk membantunya membuang rokok yang tidak diisytiharkan supaya tiada tindakan akan diambil terhadapnya.

Pendakwa raya bagi kes ini ialah Timbalan Pendakwa Raya Hajah Zuraidah binti Haji Sidek.

ARTIKEL YANG SAMA