Warga Malaysia elak hukuman penjara

Warga Malaysia elak hukuman penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161012_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seorang lelaki Malaysia terlepas dari menjalani hukuman penjara empat bulan setelah membayar denda $1,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan membawa masuk minuman keras tanpa cukai.

Adih Anak Anau, 41, mengaku bersalah di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kerana memiliki 12 tin dan empat botol minuman keras dalam kereta ketika ditahan oleh pegawai pemeriksa kastam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah, pada 21 September 2016 kira-kira jam 6:50 pagi.

Minuman keras itu disimpan dalam but belakang kereta yang dipandu defendan.

Defendan mengaku memiliki kesemua minuman keras yang dibelinya di Limbang itu pada harga $44.

Pegawai Pendakwa Kastam memaklumkan mahkamah bahawa cukai yang seharusnya dibayar untuk kesemua minuman keras itu adalah $56.

Majistret memerintahkan minuman keras yang telah dirampas itu diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.

ARTIKEL YANG SAMA