Warga Malaysia mangsa terbaru Takata

Warga Malaysia mangsa terbaru Takata

KUALA LUMPUR, 5 Mei (AFP) – Dua orang telah terkorban di Malaysia selepas inflator beg udara yang dikeluarkan oleh Takata, Jepun, meletup, umum pengeluar kereta Honda, sekali gus menambah jumlah global kepada 13 dalam satu skandal yang telah membawa kepada penarikan balik kereta terbesar dalam sejarah AS.

Syarikat alat ganti kereta yang berpangkalan di Tokyo, Takata, sedang bergelut untuk menghadapi dan mengatasi satu kerosakan yang boleh menyebabkan serpihan besi dan plastik daripada kanister inflator meluru pada pemandu dan penumpang apabila beg udara digunakan.

Kerosakan itu telah dipersalahkan atas kecederaan teruk yang dalam sesetengah kes membawa maut.

Kematian terbaru berlaku pada April di negeri Sabah di pulau Borneo Malaysia dan di utara negeri Kedah pada Mei.

“Honda telah mengesahkan bahawa inflator beg udara pemandi Takata pecah dalam dua nahas pada April dan Mei masing-masing di Malaysia,” kata Honda Malaysia dalam satu kenyataan semalam.

Beg udara Takata disyaki penyebab kematian warga Malaysia. – AP
Beg udara Takata disyaki penyebab kematian warga Malaysia. – AP

“Kedua-dua nahas mengakibatkan kematian tragik pemandu,” katanya, menambah punca kematian dalam kejadian itu, kedua-duanya membabitkan kereta Honda City, masih belum disahkan.

Syarikat kereta itu juga berkata ia telah mengeluarkan satu notis penarikan balik untuk kenderaan Honda City pada 2014 dan 2015 yang mewajibkan inflator beg udara depan pemandu diganti.

Pada 2014, seorang wanita mengandung warga Malaysia dan anak dalam kandungan terbunuh apabila beg udara Takata gagal berfungsi.

Kira-kira 50 juta beg udara Takata telah pun ditarik balik di seluruh dunia, termasuk kira-kira 29 juta di Amerika Syarikat, di mana pengawal berkata semalam mereka menjangka 35 dan 40 juta beg udara ditambah kepada senarai.

Penyiasat mengesyaki bahan kimia yang digunakan untuk mengembungkan beg udara Takata adalah tidak stabil, terutamanya dalam cuaca panas dan lembap, dan menyebabkan kanister inflator pecah.

ARTIKEL YANG SAMA