Warga Malaysia rai Hari Kebangsaan

Warga Malaysia rai Hari Kebangsaan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58 tahun hari ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan upacara pengibaran bendera yang berlangsung di perkarangan suruhanjaya berkenaan di Jalan Kebangsaan, di sini.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh hadir menyaksikan upacara berkenaan bersama-sama warga Malaysia yang bekerja dan tinggal di negara ini.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya di majlis itu berkata, kemerdekaan melambangkan kedaulatan sebuah negara dan boleh ditafsirkan sebagai negara yang diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat sesebuah negara.

Erti kemerdekaan, tambah beliau, bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata tapi kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia tahun ini yang bertema ‘Sehati Sejiwa’, Tuan Yang Terutama menyeru sebagai rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, keamanan, keselamatan, kemajuan dan kemakmuran supaya sama-sama menuruskan serta meningkatkan semangat kekitaan tanpa rasa berbelah bahagi dalam suasana keinsafan untuk mencintai Malaysia setulusnya.

Pemain pertandingan ping pong menerima hadiah mereka dari TYT Datuk Awang Sahak.
Pemain pertandingan ping pong menerima hadiah mereka dari TYT Datuk Awang Sahak.
TYT Datuk Awang Sahak dan antara yang hadir di majlis itu.
TYT Datuk Awang Sahak dan antara yang hadir di majlis itu.
Upacara menaikkan bendera negara Malaysia sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58 tahun.
Upacara menaikkan bendera negara Malaysia sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58 tahun.

Dalam perkara ini, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak menyeru semua rakyat Malaysia di Negara Brunei Darussalam supaya terus bersatu dan memupuk semangat muhibah, saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa, agama, kepercayaan dan kebudayaan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan bersyukur atas jalinan hubungan dua hala antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam yang begitu akrab dan istimewa dalam semua bidang, seterusnya bersyukur atas penerimaan baik kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kehadiran rakyat negara ini bermastautin di negara yang aman damai serta makmur.

Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama seterusnya menyeru semua pegawai dan kakitangan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara ini, warga Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan (GLC), syarikat swasta Malaysia serta seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati dan mematuhi undang-undang, peraturan serta adat resam negara ini.

“Kita juga harus sama-sama menjaga nama baik Malaysia dengan menghindari sebarang perlakuan yang boleh mencalarkan imej baik negara,” tambah beliau lagi.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan bola keranjang dan ping pong yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak.

ARTIKEL YANG SAMA