Warga MKJB kongsi kesedihan

Warga MKJB kongsi kesedihan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 27 Mei – Warga Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) turut mengongsi kesedihan apabila menerima berita mengenai kematian salah seorang pelajar mereka dalam tragedi yang berlaku di daerah Miri, negara jiran, Ahad lalu.

Sehubungan itu, MKJB telah memulakan Majlis Ceramah Israk dan Mikraj, hari ini, dengan bacaan tahlil dan doa arwah kepada Allahyarham Awang Mohd Sahar Yahya bin Abdullah yang merupakan pelajar Diploma Nautikal yang telah mendaftar mengikuti kursus tersebut pada awal tahun lalu.

Allahyarham Awang Mohd Sahar Yahya, 37, yang merupakan pelajar sepenuh masa di maktab tersebut, meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki yang baru dilahirkan bulan lalu.

Berita mengenai pemergiannya disampaikan pada tengah hari, Isnin lalu, sekali gus amat mengejutkan kalangan guru-guru dan seluruh warga di maktab tersebut yang turut bersimpati dan prihatin dengan apa yang berlaku.

Turut berdukacita ialah kalangan rakan-rakan belajar di maktab itu, antaranya Awangku Mohd Dinie Hafizuddin, 19, Awang Mohd Mazzarol Nizam, 18 dan Dayang Nurwanadiah binti Maisali, 21, yang agak rapat dengan Allahyarham.

Antara rakan-rakan belajar yang turut berdukacita mendengarkan berita pemergian Allahyarham Mohd Sahar Yahya.
Antara rakan-rakan belajar yang turut berdukacita mendengarkan berita pemergian Allahyarham Mohd Sahar Yahya.

Menurut mereka, Allahyarham Mohd Sahar, seorang pelajar yang berdidikasi, mempunyai cara berfikir yang penuh dengan inovasi, dan bernas, serta sering memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada kalangan rakan-rakan belajarnya, selain sering meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

Mereka juga menafikan tentang sumber berita yang mengatakan kemungkinan dia mengalami masalah mental, tetapi mereka mengakui perubahan sikap Allahyarham daripada seorang yang suka bertanya semasa belajar dan suka bergaul dengan kawan-kawan menjadi pendiam dan cuba menyendiri kira-kira seminggu sebelum kejadian.

Mereka turut mengakui, kali terakhir melihat Allahyarham, di maktab pada 11 Mei lalu, memang berperangai berbeza daripada selalunya, dia banyak berdiam diri, dan menafikan dia mengalami masalah apabila kawan-kawan cuba hendak memastikan dia dalam keadaan baik.

Salah seorang guru bahagian agama maktab itu pula memberitahu Media Permata, hari ini, kali terakhir dia melihat Allahyarham pada 11 Mei, dia tiba-tiba meminta izin keluar daripada kelas dengan alasan ada perkara kecemasan perlu diselesaikan, “dan sebelum meninggalkan kelas dia berkali-kali berkata ‘Cikgu maafkan saya’, dan itu memang agak ganjil bagi saya,” katanya.

Seorang lagi guru mendakwa, Allahyarham memang merupakan pelajar yang mempunyai kehadiran yang baik sebelumnya, tetapi sejak bulan April lalu, dia jarang hadir dan turut membimbangkan guru dan teman-temannya kerana tidak lama lagi adalah musim peperiksaan.

Berita mengenai kematian pelajar itu telah tersiar dalam akhbar negara jiran, yang menyatakan mayatnya telah ditemui di tapak pusat komersial yang sedang dalam pembinaan di Miri, Ahad lalu, mayatnya telah ditemui seorang pekerja buruh binaan di situ pada jam 2 petang.

Menurut berita itu, mangsa dipercayai mengalami masalah mental dan tekanan serta dilapor mengganggu orang awam sebelum itu dan pernah dinasihatkan oleh polis peronda MPV.

Polis bagaimanapun masih melakukan siasatan lanjut dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes kematian mengejut (SDR).

ARTIKEL YANG SAMA