Warga M’sia seludup dadah dihukum mati

Warga M’sia seludup dadah dihukum mati

JAKARTA, 16 Sept (Bernama) – Seorang lelaki warga Malaysia dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Daerah Pekanbaru semalam selepas didapati bersalah menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 46.5kg ke negara itu, April lepas.

Menurut akhbar berbahasa Inggeris, ‘The Jakarta Post’ hari ini, tertuduh Ng Hai Kuan, yang juga dikenali sebagai Jimmy, 55, ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia dengan dadah bernilai Rp180 bilion (kira-kira RM44 juta).

Panel hakim diketuai Amin Ismanto memutuskan Ng bersalah memiliki dadah tersebut yang dibungkus dalam 93 paket yang dirampas oleh polis Riau di Hotel Parma di Pekanbaru, 2 April lepas.

“Dadah gred pertama itu diperoleh daripada seorang lelaki dikenali dengan singkatan ABE, seorang penduduk Melaka di Malaysia. Dadah tersebut sepatutnya dihantar kepada kawan ABE di Palembang, Sumatera Selatan,” kata Amin seperti dipetik oleh akhbar itu.

Dalam prosiding sebelum ini, beberapa orang saksi memberitahu bahawa dadah itu dibawa dalam dua beg pakaian berwarna hitam yang diseludup dengan bot laju dari sebuah jeti di Dumai.

Kunci kepada dua buah beg tersebut dikatakan telah dihantar oleh ABE kepada pembeli dadah tersebut di Palembang.

Menurut Amin, Ng telah melanggar Artikel 113 dan 132 Undang-undang No. 35/2009 berkaitan narkotik di Indonesia.